Monday, February 23, 2009

.: Perjuangan Mia :.

My latest BBK3410 assignment..C&C are appreciated..

PERJUANGAN MIA
A’aina Camilla

Mia. Kanak-kanak yang baru sahaja berusia 5 tahun. Periang dan manja. Terutama dengan mamanya, Marissa. Namun siapa yang menyangka bahawa di sebalik keriangan itu, Mia juga telah menghidap sejenis penyakit misteri. Penyakit yang bakal meragut dan merentap segala keriangan dan kegirangan Mia pada bila-bila masa sahaja. Setiap malam Marissa akan menadah tangan, berdoa kepada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, agar penyakit Mia dapat diubati dan Mia dipanjangkan umur. Dalam sujud yang panjang, Marissa sentiasa mendoakan kesejahteraan anak perempuannya yang paling dikasihinya itu. Acapkali juga, Mia bertanyakan kepada mamanya, mengapa setiap kali mamanya habis bersolat, mamanya akan menangis hingga tersedu-sedan. Mia ingin tahu mengapa Mamanya selalu begitu. Bagaikan ianya suatu kemestian.
“Mama, kalau berdoakan ma…kita kena menangis eh?Baru Allah kabulkan doa kita. Macam tu ke,ma?”
Marissa melemparkan senyuman manis kepada Mia. Soalan itu dibiarkan tidak berjawab. Marissa menahan air matanya daripada mengalir dan Marissa juga tidak mahu Mia mengesani kesedihan yang sudah lama ditanggung. Jauh di lubuk hatinya, dia ingin anaknya membesar dan sihat seperti anak-anak orang lain. Marissa juga menginginkan agar Mia berpeluang untuk mempunyai keluarganya sendiri, berkerjaya sebagai seorang doktor yang dapat menaburkan budi kepada masyarakat. Tinggi sungguh cita-cita yang disandarkan kepada Mia. Namun, Marissa takut untuk menerima hakikat bahawa anak kecilnya itu akan diambil pada bila-bila masa sahaja. Marissa amat mengharapkan satu keajaiban berlaku. Doa Marissa di dalam hati.
Tidak berapa lama dahulu, Mia telah menjalani pemeriksaan di salah sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur.
“Puan Marissa, kami telah melakukan pemeriksaan terperinci ke atas anak puan. Dari keputusan ujian darahnya, kami mendapati sel-sel darah merahnya sangat abnormal. Namun, kami tidak dapat mengenalpasti penyakit apa yang sedang dihadapinya.”
Doktor itu menambah lagi.
“Apa yang mampu saya katakan hanyalah, nyawa anak puan mungkin akan terancam kerana tiada rawatan yang spesifik untuk memulihkan anak puan.”
Marissa terkejut benar mendengar kata-kata daripada doktor muda itu. Seorang doktor yang kini masih lagi berusaha menyiasat penyakit apakah yang dihidapi oleh Mia dan juga doktor yang setia merawat Mia selama ini. Mia telah disahkan menghidapi penyakit misteri itu sejak dia berusia 2 tahun lagi. Pada mulanya Mia mendapat demam panas yang terlalu kerap. Tumbesarannya agak terbantut. Kemudian seluruh tubuh Mia ditubuhi bintik-bintik yang berair dan apabila bintik-bintik air itu pecah, ia akan meninggalkan luka dan berparut. Marissa menyangka anaknya hanya mendapat demam campak. Demam yang biasanya dihidapi oleh kanak-kanak yang seusia dengannya. Lalu Mia dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
“Daripada pemeriksaan yang saya lakukan ke atas Mia, saya tidak merasakan bahawa Mia mendapat demam campak. Saya nasihatkan puan pergi mendapatkan rawatan lanjut di hospital pakar.”
“Baiklah doktor.”
Hanya itu yang terlintas di fikiran Marissa. Marissa meras amat cemas. Anaknya yang disangka hanya mendapat demam campak, rupa-rupanya telah menghidap satu penyakit misteri. Mia terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan berskala. Anaknya diberikan suntikan agar pertumbuhan sel-sel darah merah yang abnormal dapat diperlahankan kadar pertumbuhanya sehinggalah penawar bagi penyakit itu ditemui. Kadangkala Mia enggan ke hospital kerana takut diambil darah dan disuntik. Bayangkanlah kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh anak sekecil itu.
Suatu petang, sedang Marissa leka menggemburkan tanah di pasu bunga, tiba-tiba Marissa mendapati kelibat Mia ghaib dari pandangan matanya. Marissa tercari-cari suara anak kecilnya itu. Dipanggil nama anaknya berkali-kali. Namun tiada jawapan. Marissa jadi cemas. Selalunya, Mia akan bermain dengan riuh sekali. Terjerit-jerit memanggil mamanya. Terjerit-jerit jika terlihat katak melompat-lompat ke arahnya. Terjerit-jerit kegembiraan melihat sang rama-rama berterbangan. Kini, yang mengisi ruang halaman itu adalah sepi. Marissa semakin resah. Dari luar rumah, Marissa menerpa ke dalam. Dicarinya Mia di ruang tamu, di ruang makan, di dapur, di bilik membaca Mia, di bilik Mia, di biliknya juga turut digeledah. Namun Mia tetap tidak ditemui. Lalu dengan tergesa-gesa, Marissa menuruni anak tangga. Dia melihat pula di belakang rumah. Dikhuatiri Mia berada di sana, kerana Mia suka memetik cili dan bunga-bunga liar yang tumbuh melata di halaman belakang rumah.
Alangkah terkejutnya Marissa apabila mendapati Mia terbaring kaku di atas tanah dengan tangannya erat menggenggam batang-batang halus bunga-bunga liar. Air mata Marissa mula membasahi pipinya. Marissa cuba menggoyangkan tubuh anaknya itu. Memanggil-manggil namanya. Mia tetap kaku. Lalu dengan segala kudrat yang ada, Marissa mengangkat Mia dan memandu laju keretanya ke hospital yang lazim dilawatinya. Mia ditahan selama 2 minggu di wad.
Selepas dari kejadian itu, Marissa lebih peka dengan setiap pergerakan anaknya. Kalau boleh, Marissa tidak mahu terlepas pandang walau sedikit pun. Setiap pagi juga, Marissa akan memastikan Mia makan ubat yang telah diberikan oleh doktor. Mia akan dipaksa untuk menelan ubat yang pahitnya seperti hempedu itu. Kadangkala, Marissa terpaksa mencampurkan ubat dengan susu strawberi ataupun susu coklat kegemarannya kerana Mia enggan menelan ubat itu hidup-hidup.
Kini sudah 3 tahun berlalu. Mia sudah bersekolah di tadika. Mia kelihatan seperti kanak-kanak yang normal . Bermain riang bersama-sama dengan rakan-rakannya. Marissa juga kadang-kadang terlupa akan penyakit misteri anaknya itu. Suaminya, Zarul sentiasa berpesan kepada Marissa agar sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Sentiasa peka kepada sebarang perubahan yang berlaku ke atas Mia. Walaupun Mia sangat aktif di tadika, namun Mia akan menjadi lemah,keletihan dan tidak bermaya sewaktu pulang ke rumah. Mia akan tidur seawal jam 5 petang hinggalah keesokan paginya. Kerja sekolahnya akan disiapkan oleh Mia, itu pun jika Mia tidak terlalu letih. Yang selebihnya akan disiapkan oleh Marissa.
Zarul dan Marissa sentiasa runsing melihatkan keadaan anak mereka itu. Kerungsingan yang tidak pernah berkurangan sejak 3 tahun dahulu. Perjuangan Mia merupakan satu perjuangan yang panjang dan jauh. Perjuangan antara kehidupan dan kematiannya. Perjuangan yang tiada diketahui bila akhirnya.
“Mama, Mia nak tanya sesuatu boleh tak?”
Marissa geli hati apabila mendengar Mia yang bersuara lunak cuba membesarkan suaranya. Sambil tersenyum, Marissa menganggukkan kepala tanda mengizinkan Mia bertanya.
“Mia…Mia….emm,tak ada apa-apa lah”
Mia tidak jadi bertanya. Dia bangun dari kerusi yang sedang diduduknya tadi dan beralih ke atas ribaan mamanya. Manja. Marissa cuba untuk mendandan rambut Mia yang kelihatan tidak terurus .Dengan suara yang sengaja dimanjakan, Mia bertanya lagi.
“Mama, mama sayang Mia tak?”
Marissa berhenti dari kerja yang sedang dilakukannya. Memandang sejenak ke arah suaminya sebelum menjawab pertanyaan Mia.
“Mestilah sayang..kenapa Mia tanya?”
“Saja…”
Marissa mengerutkan dahi. Mia buat-buat tidak peduli lalu bangkit meninggalkan mamanya dengan seribu tanda tanya. Lalu Mia beralih pula ke ribaan papanya. Ditanya juga soalan yang sama. Zarul memandang kehairanan kepada Marissa. Akhirnya kedua-duanya membiarkan sahaja segala persoalan yang menyerabuti kepala mereka.
Mia mempunyai satu kegemaran. Dia gemar melukis dan mewarna. Walaupun lukisannya tampak comot dan serba tidak kena, namun dia akan tetap berbangga dengannya. Setiap kali selesai menghasilkan ‘sesuatu’, Mia akan menunjukkan kepada mamanya. Marissa akan memuji hasil kerja anaknya itu. Sekadar mengambil hati dan menaikkan semangat anaknya untuk terus berkarya. Namun, sejak akhir-akhir ini, Mia sudah mula berubah. Dia tidak lagi melukis, apatah lagi mewarna. Mia lebih banyak menghabiskan masanya menonton televisyen, terutamanya pada hujung minggu. Mia semakin pendiam dan lebih banyak melayani perasaan. Marissa buntu. Tiap kali diajukan soalan, Mia akan menjawab dengan acuh tidak acuh sahaja.
Zarul pun perasan akan perubahan Mia. Namun, apakan dayanya. Dia kerap ditugaskan di luar kawasan kerana kerja sebagai kontraktor amat menuntut sepenuh komitmen daripadanya. Tambahan pula, hasil pendapatannya akan digunakan sepenuhnya untuk menanggung segala rawatan dan ubat-ubatan Mia yang agak mahal. Namun, Zarul pasrah. Padanya, apalah nilai wang ringgit jika hendak dibandingkan dengan nyawa anak perempuannya itu. Zarul tidak kisah berhabisan untuk itu. Marissa juga mengerti akan tanggungjawab yang dipikul oleh suaminya itu. Sampailah suatu ketika, pada suatu petang yang tenang dan dingin, Mia tiba-tiba dilanda sawan. Badannya mengejang, jantungnya berdegup kencang dan mulutnya mula berbuih-buih. Marissa kaget. Pada masa yang sama, Zarul baru sahaja pulang dari Perak. Dengan tergesa-gesa, Zarul dan Marissa membawa Mia ke hospital.
“Bang,cepat sikit bang. Keadaan Mia ni makin teruk nampaknya”
Suara Marissa agak meninggi. Kerisauan Marissa telah mendorongnya untuk meminta suaminya mempercepatkan kelajuan kereta mereka. Pada saat itu, Marissa merasakan destinasi yang hendak dituju begitu jauh dan lama. Mia yang berada dipangkuannya kelihatan amat terseksa. Marissa tidak dapat membendung air matanya. Di dalam hati dengan penuh mengharap, Marissa berdoa ke hadrat illahi agar Mia dapat bertahan lebih lama.
Sebaik sahaja tiba di perkarangan hospital, Mia terus dipindahkan ke atas stretcher dan dibawa ke bilik rawatan. Zarul dan Marissa hanya dibenarkan menunggu di luar bilik rawatan dan menanti perkembangan Mia dengan penuh sabar. Kesepian mengisi ruang menunggu tika itu. Zarul dan Marissa berpegangan tangan. Masing-masing cuba untuk mengembalikan semangat yang sudah terbang melayang tadi.
“Puan Marissa dan encik Zarul, boleh ikut saya ke pejabat sebentar?”
Pinta doktor yang baru sahaja keluar dari bilik rawatan itu. Wajah doktor itu kelihatan serius dan tiada senyuman yang terukir di bibirnya. Mungkin sesuatu telah terjadi, Marissa meneka. Marissa tiada daya untuk melangkah. Zarul terpaksa memapah Marissa mengikuti langkah doktor itu. Di dalam pejabat, sebelum doktor membuka bicara, Marissa telah terlebih dahulu mengajukan soalan.
“Bagaimana keadaan Mia, doktor? Adakah doktor sudah mendapat penawar untuk penyakit misterinya itu?”
Doktor menundukkan kepala, mengambil fail yang dihulurkan oleh jururawat yang berada bersebelahan dengannya. Setelah meneliti selama beberapa minit, doktor itu kembali bersuara. Ruang kesepian tadi mungkin dapat memberi masa kepada pasangan yang berada di hadapannya untuk menenangkan diri masing-masing dan juga mungkin untuk memberikan semangat kepada dirinya sendiri agar dapat memberitahu berita itu dalam keadaan yang tenang.
“Puan Marissa, Encik Zarul. Sel-sel darah merahnya yang abnormal dalam darah Mia semakin memburuk. Segala rawatan yang diberikan sebelum ini, tidak mendatangkan hasil. Sawan yang terjadi tadi merupakan petanda buruk buat Mia.”
Marissa menggenggam erat tangan suaminya. Tiada kata yang terkeluar di mulutnya. Perkataan ‘petanda buruk’ itu terngiang-ngiang di telinganya. Tangisan Marissa semakin tidak terkawal. Zarul cuba menenangkan, namun air matanya juga gugur bercucuran.
“Kami tidak mampu berbuat apa-apa. Kami tidak berjaya mencari penawarnya. Jika kami melakukan pembedahan ke atasnya, hasilnya tetap sama. Dalam masa 6 bulan yang terakhir ini, puan dan encik banyakkanlah bersabar dan berdoa.”
Sukar bagi doktor muda itu meluahkan semuanya. Hatinya turut tersentuh melihat pasangan yang berada di hadapan matanya itu. Mereka kelihatan begitu kecewa dan sedih. Namun, dia harus bersikap professional. Emosi, tidak seharusnya dipamerkan. Dia hanya mampu bersimpati. Marissa dan Zarul melangkah lesu keluar dari pejabat doktor itu. Mereka pergi mendapatkan Mia yang sudah pun dipindahkan ke wad biasa.
Wajah Mia kelihatan tenang. Setenang air di kali. Marissa dan Zarul hanya mampu mengharapkan keajaiban berlaku. 6 bulan adalah masa yang tinggal untuk mereka bersama.. Mereka yakin dengan kekuasaan Allah. Tuhan yang mampu atas segala sesuatu. Mia mungkin pergi dahulu kerana Mia adalah yang terpilih, yang dikasihi. Mereka hanya mampu melakukan setakat mana yang terdaya sahaja, yang selebihnya mereka pasrah kepada Allah. Mereka pasrah, mereka redha. Doa mereka agar anak kecil itu dapat meneruskan perjuangannya dengan cekal dan tabah.Aminnn…..

No comments: